Lagu Tolong Ingatkan Aku ciptaan Ana Raffali dilabelkan sebagai lagu 'sampah' dan tidak layak memenangi AJL25
Ramai pihak yang mempersoalkan kemenangan lagu Tolong Ingatkan Aku karya lirik dan ciptaan Ana Raffali sendiri setelah rancangan berprestij itu melabuhkan tirai di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam Ahad lalu.
Kejayaan Ana Raffali yang merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM35,000 itu mengundang suasana yang kurang manis sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai pemenang apabila kebanyakan penonton di stadium berkenaan bangun meninggalkan kerusi masing-masing.
Ia seperti isyarat peminat dunia hiburan tidak dapat menerima keputusan juri yang diketuai M.Nasir itu mengenai pemilihan berkenaan.
Lebih dahsyat lagi, semasa sidang media diadakan ada wartawan yang melabelkan lagu berkenaan umpama “sampah” dan mempersoalkan kenapa ia harus diangkat sebagai pemenang.
Sebaliknya, anak didik komposer Aidit Alfian ini menerima keputusan juri yang sebulat suara membuat keputusan memilihnya sebagai pemenang.Ana Raffali tidak kecewa dengan keceman orang ramai kerana dia tidak bersalah sebaliknya menerima keputusan itu dengan rasa syukur.
“Peluang memenangi juara lagu AJL25 tidak akan dapat di mana-mana. Saya berharap lagu Tolong Ingatkan Aku untuk menang tetapi tidak fikir dipilih terlalu tinggi seperti ini.
“Mungkin lagu itu tidak popular dan tidak selalu dimainkan di radio tetapi kita perlu melihat sejauh mana lagu itu digambarkan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kemenangan ini dan akan terus berkarya dalam industri muzik,” katanya ketika sidang media selepas acara itu berlangsung.
Bercerita lanjut tentang lagu berkenaan, Ana Raffali akui lagu itu sebagai mengingati arwah kakaknya yang meninggal pada 9 Januari 2003.
“Saya menulis lagu itu sebagai satu peringatan untuk orang yang tersayang. Benci dan marah merupakan satu lumrah dalam kehidupan.
“Saya akan berkongsi hadiah wang tunai itu dengan orang yang banyak berjasa kepada saya selain ingin mengadakan sedikit jamuan.
“Trofi yang saya menangi ini akan lebih mengingatkan saya tentang kenapa saya memilih muzik sebagai karier sekali gus sebagai lambang keseriusan dan perjuangan saya dalam bidang muzik,” ujarnya.
Ana Raffali juga berharap penganjur konsert akan lebih menghargai penyanyi dan pemuzik tempatan pada masa akan datang.
Sumber: Mstar Online
adios..amigos

